Al-Futur : Kesan Dan Ubatnya


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Assalamualaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji bagi ALLAH SWT atas segala-galanya,
Selawat dan salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat baginda.


Kesan Futur Kepada Para Amilin

Kesan yang paling minima ialah kurang perhatian dan tumpuan mereka untuk melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT. KEmungkinan sikap ini akan terus kekal sehingga ke akhir hayatnya. Maka orang seperti ini akan berjumpa dengan ALLAH dalam keadaan tidak patuh dan tidak bertanggungjawab kepada-Nya. Maka di sinilah pentingnya kita berlindung dengan ALLAH SWT daripada perkara ini, dengan doa yang dianjurkan oleh RasuluLLAH SAW:

Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari runsing dan sedih dan aku berlindung denganMu dari lemah dan malas dan aku aku berlindung denganMu dari pengecut dan bakhil dan aku berlindung denganMu bebanan hutang dan tekanan manusia HR Abu Daud.

Serta

Wahai Tuhanku jadikanlah sebaik-baik hidupku di penghujung hayatku. Wahai Tuhanku, jadikanlah segala amalku yang akhir di dalam keredhaanMu. Wahai Tuhanku jadikanlah sebaik-baik hari untukku ialah hari aku bertemu denganMu HR Ibnul Sinni.

Di antara berita gembira (busyra) yang disampaikan oleh RasuluLLAH SAW ialah

Apabila ALLAH SWT inginkan kebaikan ke atas seseorang hambaNya, ALLAH akan memberi tugas kepadanya. Sahabat bertanya bagaimana ALLAH SWT menugaskannya? Baginda menjawab: ALLAH memberikan taufiq kepadanya untuk melakukan amalan yang baik (soleh) selepas itu ALLAH mengambil nyawanya. HR At-Tarmadzi.

Di antara kehampaan yang dirintih oleh tokoh sahabat yang agung AbduLLAH Ibn Mas’ud semasa beliau hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan teresak-esak ialah ia berkata:

Aku menangis kerana aku ditimpa sakit, di masa aku berada dalam keadaan yang lemah (Al-Futur) dan ianya tidak menimpa aku semasa aku aktif di dalam perjuangan.- An-Nihayah fi gharib al-Hadith: Ibnul Asir.

Maksud beliau ialah penyakit yang membawanya kepada maut berlaku semasa ia begitu dhaif di mana kesihatannya itu tidak mengizinkannya untuk memperbanyakkan ibadat dan berjihad di jalan ALLAH SWT.

Kesan Ke Atas Organisasi

Organisasi terpaksa menempuh jalan yang panjang dalam perjuangannya, juga bebanan yang berat dan pengorbanan yang banyak. Ini merupakan sunnatuLLAH kerana ALLAH SWT tidak akan memberikan kemenangan dan kekuasaan kepada orang yang malas, lalai dan tidak konsisten dalam perjuangan. Seseungguhnya kemenangan hanya diberikan kepada amilin yang begitu baik dalam gerak kerja yang sistematik dan berjuang berterusan, serta cemerlang dalam pekerjaannya juga begitu hebat di dalam perjuangan.

FirmanuLLAH Taala yang bermaksud:

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya ALLAH benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik (Al-˜Ankabut ayat 69)

Mengubati Al-Futur

1. Menjauhkan diri dari melakukan maksiat samada yang besar mahupun yang kecil.

Maksiat umpama api yang membakar hati dan mewajibkan kemurkaan ALLAH SWT, dan menyebabkan orang yang terjebak itu berada di dalam kerugian.

Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaanKu maka sesungguhnya binasalah dia (Toha ayat 81)

2. Berterusan melakukan ibadat harian

Istiqamah dalam melakukan ibadat harian yang lazim seperti berdzikir, berdoa, istighfar, membaca Al-Quran, solat Dhuha, qiyamullail dan lain-lain lagi.

3. Mengintai waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat.

Perlakuan demikian akan mencergaskan jiwa dan menguatkan keazaman. Sabda Nabi SAW:

Maka hendaklah kamu perbetulkan, hampirkan dan gembirakan (dengan ALLAH) dan hendaklah kamu memohon pertolongan (dari ALLAH) pagi dan petang dan sedikit masa di waktu malam HR Al-Bukhari.

4. Membebaskan diri dari begitu keterlaluan di dalam agama.

Dengan cara yang demikian, ianya dapat menyegarkan dan membantu untuk terus konsisten dalam amalan.

Adalah tidak salah untuk dinyatakan bahawa membebaskan diri daripada keterlaluan dalam agama bukan bererti kita meninggalkan dan mengabaikannya. Bahkan apa yang dimaksudkan di sini ialah berjimat dan bersederhana di samping terus memelihara apa yang biasa dilakukan daripada ibadah. Ini juga memastikan sunnah diikuti.

AbduLLAH bin Amru bin al-As meriwayatkan Rasul SAW bersabda:

Wahai AbduLLAH, janganlah kamu jadi macam orang itu, sebelum ini dia mengerjakan solat malam dan selepas itu dia tinggalkan solat malam HR Muttafaqun ‘Alaih.

Rasul SAW bersabda:
Apabila aku melarang kamu dari sesuatu maka hendaklah kamu menjauhinya dan apabila aku menyuruh kamu dalam melakukan sesuatu maka hendaklah kamu lakukannya mengikut kemampuanmu” HR Muttafaqun ˜Alaih.

5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah

Rasul SAW bersabda:
Jamaah adalah rahmat, berpecah adalah azab HR Ahmad.

Rasul SAW juga bersabda:
Tangan (pertolongan) ALLAH bersama-sama jamaah HR At-Turmudzi.

Rasul SAW bersabda:
Kekeruhan yang ada di dalam jamaah lebih baik daripada kejernihan yang ada pada individu.

6. Memerhatikan sunnatuLLAH yang wujud pada manusia dan seluruh alam.

Firman ALLAH SWT:
Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi Sunnah ALLAH, dan sekali-kali tidak pula akan menemui penyimpangan bagi sunnah ALLAH -Faathir ayat 43.

Pernah sekali Khalifah Umar Abdul Aziz r.a ditegur oleh anaknya yang tidak setuju dengan caranya yang mengimplementasikan sunnah gradualiti (peringkat demi peringkat)kepada rakyatnya dalam mengembalikan penghidupan di zamannya. Beliau menjawab : Wahai anakku, janganlah kamu gopoh kerana ALLAH SWT telah mencela tentang arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali dan arak hanya diharamkan pada kali ketiga.

Sesungguhnya aku bimbang sekiranya aku melaksanakan kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus, maka tindakan yang demikian itu akan menimbulkan fitnah Al-Muwafaqat li Al-Syatibi.

7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan

Bersedia untuk berhadapan dengan halangan dari mula hari bekerja, maka dengan yang demikian menjadikan kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi halangan tadi di samping itu ia akan mengambil langkah yang perlu bagi mengatasinya.

8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan

Dengan ini, amilin dapat membezakan dan meletakkan prioriti / tahap awlawiyyat antara kerja-kerja yang sedang dilakukan, mendahulukan yang penting dan mengelakkan dari perselisihan sampingan atau masalah cabang yang tidak begitu penting.

9. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh yang berjihad di kalangan hamba ALLAH.

Sentiasa berdampingan dengan golongan yang berjiwa bersih, hati yang bercahaya. Dengan hati yang bercahaya sentiasa membawa kepada menggerakkan keazaman dan himmah yang tinggi juga hasrat yang kental. Sabda Rasul SAW:
Mahukah kamu aku menceritakan tentang sebaik-baik manusia? Mereka menjawab: Ya Wahai RasuluLLAH. Baginda bersabda: Mereka ialah apabila kamu melihatnya akan menjadikan kamu ingat kepada ALLAH.

10. Memberikan hak kepada badan

Memberikan hak kepadanya seperti kerehatan, makan minum dalam bentuk yang sederhana. Cara ini memberikan kecergasan kepada badan dan mengembalikan kekuatan.

Dalam satu riwayat:

Suatu hari Nabi SAW masuk ke dalam masjid. Baginda mendapati seutas tali yang merentang di antara dua tiang maka baginda bertanya tali apa ini? Mereka menjawab tali ini kepunyaan Zainab. Apabila ia penat, dia akan bergantung dengan tali itu. Lantas Nabi SAW berkata rungkaikannya, hendaklah seseorang daripada kamu mendirikan sembahyang dalam keadaan cergas. Apabila ia penat, hendaklah dia berbaring” HR Muttafaqun ‘Alaih.

11. Menghiburkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang diharuskan.

Termasuklah bermesra dengan keluarga atau bermain dengan anak-anak atau melakukan perkelahan, riadhah, memberikan masa untuk merenung dan memikir serta seumpamanya. Tindakan ini akan dapat menolong menghapuskan rasa jemu serta mampu mengatasi Al-Futur ataupun malas.

Baginda pernah bersabda kepada Handzalah semasa satu peristiwa (Para sahabat pernah merasakan diri mereka seolah-olah menjadi munafiq, kerana apabila Rasul SAW mengingatkan tentang neraka dan syurga, seolah-olah mereka dapat melihatnya, tetapi apabila bertemu keluarga, mereka terus sibuk dengan anak dan isteri):
“Dan demi diriku yang berada di tangan-Nya, seandainya kamu terus kekal seperti mana kamu berada di sampingku dan terus berzikir nescaya para malaikat akan bersama kamu. Samada kamu berada di tempat tidur ataupun di jalan, tetapi wahai Handzalah lakukanlah dari semasa ke semasa”.

12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku sirah, sejarah dan biografi

Kerana buku-buku seperti ini mengandungi banyak kisah tentang amilin, mujahidin juga tokoh-tokoh yang berjiwa besar, hasrat yang benar, yang apabila dibaca ianya menyeronokkan dan menggembirakan hati, serta tercetus rasa untuk mengikuti jejak langkah mereka. Firman ALLAH SWT:
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal (Surah Yusuf ayat 111)

Sebagai contoh, apabila kita membaca kisah Khalifah Umar Abdul Aziz r.a, di mana beliau merasa penat untuk beribadat di antara waktu solat Subuh dan terbit matahari dia terus berlegar di dalam rumahnya sambil merangsang dirinya dengan berkata “Bagaimana mata boleh terlelap sedangkan ia adalah cahaya dan tidak tahu di mana antara dua tempat dia akan bersemadi (syurga atau neraka). Apabila seseorang muslim itu membaca kisah ini seluruh perasaannya akan bergerak, maka dia akan mula cergas dan melawan dirinya dengan harapan untuk tergolong dalam kumpulan amilin mujahidin.

13. Sentiasa mengingati mati dan soal kubur

Semuanya ini boleh menyedarkan diri dari tidur, menghalang diri daripada baring (kemalasan) dan mengingati daripada kelalaian. Kesedaran seperti ini akan mengaktifkan semula dan juga mengorak langkah dalam perjuangan. Sebaik-baik perantaraan untuk mengingati mati ialah menziarahi kubur, walaupun seminggu sekali. Dengan itu kita akan mendapat pengajaran tentang keadaan mereka yang bersemadi di dalamnya.

Diceritakan perihal seorang pendakwah, Ibnul Sammak al-Waidz, bahawa dia menggali lubang dalam rumahnya seolah-olah seperti lubang kubur, setiap kali dia merasa malas, dia akan turun berbaring di dalamnya seolah-olah dia sudah mati, dan membayangkan soal-jawab di dalamnya serta membayangkan amalnya yang tidak cukup lalu ia meminta tolong dan menjerit meminta dikembalikan ke dunia. “Ya Tuhan kembalikanlah aku ke dunia untuk melakukan amal soleh yang pernah aku tinggalkan Mariam ayat 101.

Selepas lama menjerit dan meminta tolong, dia menjawab sendiri pada dirinya, Wahai Ibnul Sammak, sekarang kamu diberi peluang sekali lagi lalu dia bangun dari kuburnya dalam keadaan seolah-olah dia terlepas dari satu belenggu atau ikatan dirinya.

14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka

Mengingati kedua-duanya akan menghilangkan mengantuk dan kelopak mata dan menggerakkan himmah yang kaku dan keazaman yang lesu.

Menurut cerita Harram ibn Hayyan, dia pernah keluar pada suatu malam dengan melaungkan suara yang begitu tinggi, Aku hairan tentang syurga, bagaimana orang yang menginginkannya boleh tidur dan aku hairan dengan neraka bagaimana orang yang takutkannya boleh tidur, kemudian dia membaca ayat Al-Quran:
“Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur? Surah Al-A’raaf ayat 97 Bab Al-Takhwif bi An-Nar li Ibn Rajab.

15. Sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu

Dengan ini, dapat menghidupkan hati dan kemungkinan seseorang amil itu apabila mendengar satu perkataan dari seorang alim yang ikhlas dan benar, maka kalimah tadi akan menggerakkan dirinya untuk tempoh setahun, ataupun sepanjang usianya.

Ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT:
Sesungguhnya yang takut kepada ALLAH di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama
Surah Faathir ayat 28.

16. Menerima Islam secara keseluruhan

Menerima Islam secara kulli tanpa mengabaikan sedikit pun daripadanya, bukannya juz u’(berjuzu’-juzu’ tertentu sahaja). Ini akan menjamin kelangsungan amalan yang berterusan hingga ke akhir hayat sehingga bertemu dengan ALLAH SWT.

17. Melakukan muhasabah diri dan mengkaji setiap masa

Dengan cara yang demikian, para amilin akan dapat mengenal pasti kelemahan diri sejak awal lagi yang membolehkan mudah untuk diubati.

Dengan sedikit perkongsian di sini, adalah diharapkan agar kita yang mewaqafkan diri ke dalam perjuangan ini dapat mengenal pasti dan berhati-hati dengan epidemic wabak Al-Futur ini. Sama-sama doakan agar ALLAH SWT selamatkan kita semua daripada segala yang menghalang perjuangan kita.

0 PAUTAN RASA:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...