Ikhtilat di dalam Liqa' Fikri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas keizinan-Nya kita berjaya menganjurkan liqa’ fikri baru-baru ini. Semoga dengan perancangan strategik yang telah dibuat bakal menjadi batu loncatan yang pertama ke arah memacu gerakan da’wah Islamiyah di Sarawak bumi yang kita cintai ini.

Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh salah seorang daripada sahabat berhubung dengan kemusykilan salah seorang peserta liqa’ fikri baru-baru ini tentang percampuran antara muslimin dan muslimat di dalam perjumpaan seumpama ini.

Pertama sekali, syabas kepada ukhti tersebut kerana amat concern tentang perkara ikhtilat seperti ini. Tidak ramai golongan wanita yang cakna terhadap perkara seperti ini, sedangkan di dalam perjumpaan seperti ini, keredhaan dan berkat ALLAH SWT di dalam majlis seumpama ini amat penting, secara tidak langsung segala isi perbincangan dan juga keputusan majlis turut dipengaruhi oleh keadaan seperti ini.

Kedua, berkenaan dengan soalan yang diajukan oleh ukhti tersebut tadi, insyaallah tidak terdapat sebarang masalah berkenaan percampuran antara muslimin dan muslimat di dalam keadaan liqa’ fikri baru-baru ini.

Terdapat beberapa faktor yang diambil kira, yang membawa kepada keharusan percampuran antara muslimin dan muslimat di dalam suatu perjumpaan itu.

Untuk itu, saya mengajak sahabat-sahabiah sekalian untuk mengikuti perbincangan berikut:

Definisi Ikhtilat:

Pergaulan (Ikhtilat) ertinya bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ini berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari dua orang sahaja.

Hukum Ikhtilat Antara Lelaki Dan Perempuan:

Hukum asal pergaulan antara lelaki dengan wanita ajnabi (dihalalkan berkahwin antara kedua-duanya) adalah haram.

Walau bagaimanapun, pengharaman ini bukanlah bersandarkan nas-nas yang sarih (nas-nas yang terang/jelas) , kerana tidak ada nas yang sarih (jelas) menyebut tentang masalah ini. Pengharaman bagi kes ini hanya diasaskan kepada hukum-hukum lain yang pada asalnya hanya dikhususkan untuk kaum wanita sahaja kerana terdapat unsur-unsur ikhtilat antara lelaki dan wanita ajnabi, contohnya seperti: larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, hukum solat jumaat bagi wanita dan hukum solat berjemaah di masjid bagi wanita.

Batasan Pergaulan Yang Diperbolehkan Untuk Lelaki Dan Wanita Ajnabi

Terdapat beberapa keadaan atau situasi tertentu yang menyebabkan hukum ikhtilat antara lelaki dan wanita ajnabi tersebut berubah daripada haram kepada harus.

Keadaan dan situasi yang dimaksudkan ialah dharurah, hajat (keperluan), maslahat syar’ie dan kebiasaan adat setempat.

1. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Dharurat

Dalam syarah Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak ada perbezaan hukum berkhalwat antara lelaki dan wanita ajnabi di dalam dan luar solat, kecuali dalam keadaan dharurat. Contohnya, seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi daripada bahaya.(Rujukan: Imam An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, m/s. 109).

Penjelasan daripada Imam an-Nawawi ini meyakinkan kita bahawa pergaulan lelaki dan wanita ajnabi yang dikategorikan sebagai dharurat, atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain.

2. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Keperluan

Pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) Syar’ie adalah dibolehkan. Antara keperluan-keperluan Syar’ie ialah:

a. Pergaulan untuk mengurus urusan harta

Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jualbeli dan aktiviti urusniaga lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan sekitar urusan harta dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa (tidak melunakkan suara atau memanja-manjakan nada percakapan) (Rujukan: Dr Abd Karim Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ahJilid3 m/s. 276; Ibn Qudamah, Al-Mughni Jilid 6, m/s. 588; al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Jilid 6,m/s. 154.)

b. Pergaulan semasa bekerja

Semasa melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syara’ seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Khalifah `Umar al-Khattab pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan (Rujukan: Ibn Hazm, al-Muhalla, Jilid 9,m/s 429.). Tabiat penguatkuasa di pasar menuntut pegawai tebabit bergaul dengan peniaga dan pembeli di pasar, lelaki dan perempuan. Perlantikan perempuan bekerja sebgai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah `Umar tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.

c. Pergaulan semasa menjadi saksi

Perempuan boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang ditentukan oleh Syarak bahawa perempuan dibolehkan menjadi saksi seperti perempuan harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya (Rujukan: Dr Abd Karim Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah Jilid3 m/s 427).

d. Pergaulan dalam kenderaan awam

Pergaulan di antara dalam kenderaan dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada Syarak bahawa perempuan keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak Syar’ie seperti berfoya-foya dan atas tujuan yang sia-sia tetapi sebaliknya mestilah bertujuan Syar’ie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya.

Di samping syarat-syarat di atas, batas-batas Syarak dalam pergaulan lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Pakaian mestilah menutup aurat, pandangan ditundukkan dan percakapan berlaku secara biasa dan normal.

3. Pergaulan Mengikut Kebiasaan Adat Dalam Majlis-majlis

Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam majlis seperti kenduri sempena sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syara’ seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan tidak mengalun-alunkan nada percakapannya. Sekiranya batas-batas Syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan perempuan tidak dibolehkan. Walau bagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki dan perempuan semasa makan dan lainnya dalam majlis-majlis ini adalah lebih baik. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan “Sadd az-Zari’ah” yang bermaksud ‘menutup pintu-pintu fitnah’.

4. Pergaulan Di Antara Lelaki dan Perempuan Ajnabi Semasa Belajar

Dalam persoalan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar, sebenarnya tidak ada hadis yang secara langsung menyentuh persoalan ini, adakah ia dilarang atau dibolehkan. Bagaimanapun, ada sesetengah ulama’ berpendapat lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul semasa belajar. Mereka berhujah dengan hadith Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan:

“Perempuan berkata kepada Nabi s.a.w.: Golongan lelaki mengatasi kami ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu setiap hari mendengar hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar dan belajar) lalu baginda menentukan satu hari untuk bertemu(mengajar) golongan perempuan, maka baginda menasihati dan mengajar mereka. Di antara nasihat baginda kepada mereka: “Sesiapa di antara kaum golongan perempuan yang menyerahkan tiga anaknya (untuk perang jihad dan anak itu mati syahid) pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari apai neraka. Seorang perempuan berkata kalau dua orang? Baginda bersabda: “walau dua orang”.

Bagi mereka hadith ini menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya pergaulan di antara lelaki dan perempuan dibolehkan, pasti perempuan pada masa itu tidak meminta Nabi s.a.w.menentukan hari khusus bagi mereka untuk mempelajari ilmu. Begitu juga kalau pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dibolehkan, pasti Nabi s.a.w tidak mengkhususkan hari bagi perempuan.

Bagaimanapun, setelah hadith ini diteliti, didapati ia tidak jelas menunjukkan lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan semasa belajar. Buktinya, ungkapan “ghalabana ‘alaika al-rijal” (lelaki mengatasi kami ke atasmu).

Maksudnya, secara tab’ie kaum lelaki setiap hari bersama Rasulullah s.a.w atas tabiat dan fungsi mereka sebagai lelaki. Oleh itu, mereka dapat mendengar dan mempelajari perkara-perkara berkaitan agama sedangkan perempuan tidak mampu berbuat demikian atas sifat dan fungsi mereka sebagai wanita.

Oleh yang demikian, kaum wanita pada waktu itu meminta Rasulullah s.a.w menentukan hari khusus bagi mereka mempelajari agama. Ini bermaksud, permohonan tersebut dibuat bukan kerana tegahan bergaul semasa belajar, tetapi disandarkan atas dasar tabiat dan fungsi lelaki dan wanita yang berbeza. Ia menyebabkan peluang bagi wanita untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w agak terhad. Oleh itu, pengkhususan hari belajar bagi perempuan tidak menunjukkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dilarang.

Jadi, hadith ini bukan hujah bagi pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita semasa belajar. Larangan tersebut mungkin lebih sesuai didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu yang boleh mendatangkan fitnah) kerana lelaki dan perempuan, terutama di peringkat awal remaja dan remaja banyak dipengaruhi oleh rangsangan nafsu syahwat. Dengan itu, pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar pada peringkat ini boleh mendorongkan kepada perkara-perkara keburukan lebih banyak daripada kebajikan. Oleh itu, pengasingan tempat belajar di antara lelaki dan perempuan adalah didasarkan kepada “Sadd al-Zari’ah” dan bukannya disandarkan kepada hadith di atas.

Selain dari penjelasan perenggan di atas, mereka yang mengatakan pergaulan lelaki dan wanita semasa belajar diharamkan berpendapat bahawa pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa ziarah-menziarahi adalah dibolehkan dengan beberapa syarat.

Mungkin sukar difahami kenapa pergaulan semasa ziarah dibolehkan dan pergaulan semasa belajar diharamkan, sedang suasana belajar lebih jauh daripada fitnah berbanding dengan suasana ziarah. Mungkin yang membezakan hanyalah ziarah dilakukan sekali sekala tetapi belajar mungkin lebih kerap, malah dalam konteks pendidikan formal, menengah atau tinggi ia berlaku setiap hari. Adapun, tegahan ke atasnya bukan merujuk kepada mana-mana nas, tetapi kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah”

Adab-adab yang mesti dipatuhi bagi mengharuskan pergaulan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dinyatakan:

1. Menundukkan Pandangan

Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.” (An- Nur, ayat 30)

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka” (An- Nur, ayat 31).

2. Menutup Aurat

Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (An-Nur, ayat 31)

Maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah sesuatu yang pada adat atau kebiasaannya dapat dilihat dan sukar untuk disembunyikan termasuk baju luar, muka, dua tapak tangan dan perhiasan seperti cincin dan gelang tangan. Perhiasan di rambut dan di kepala adalah haram dan termasuk dalam kategori aurat wanita.

3. Tidak berdua-duaan Antara Lelaki Dan Perempuan

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duaan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi orang ketiganya.(Hadith Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

4. Tidak Melunakkan Ucapan

Wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman Allah SWT:

Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu semua bukanlah seperti mana perempuan-perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya, berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan) (al-Ahzab, ayat 32).

Imam Ibnu Kathir mantafsirkan ayat di atas dengan menyatakan bahawa ianya adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh Allah kepada para isteri Rasulullah SAW dan juga kepada para wanita mukminah iaitu hendaklah berbicara dengan orang lain (lelaki) tanpa suara merdu iaitu janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya.

5. Tidak Bersentuhan Antara Lelaki dan Wanita Ajnabi

Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi, tidak dibenarkan berlaku sentuh menyentuh, pegang memegang, cuit mencuit dan seumpamanya walaupun dalam keadaan bergurau dan hubungan yang rapat termasuk bertunang.

Dari Maqil bin Yasar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.”
(Hadith Riwayat Baihaqi) .

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesungguhnya Allah menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu faraj yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya.(Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Kesimpulan

Pergaulan (Ikhtilat) antara lelaki dan wanita ajnabi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan atau maslahah adalah dilarang sama sekali di dalam Islam. Larangan ini bermaksud untuk menjaga maslahah (kepentingan) manusia itu sendiri.

Walau bagaimanapun, kelonggaran dalam ikhtilat ini diberikan dalam keadaan-keadaan tertentu disebabkan dharurat, keperluan dan kemaslahatan serta kebiasaan adat setempat tetapi masih tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syariat sebagaimana yang telah diterangkan.

Jadi sahabat-sahabiah sekalian, apabila dirujuk kembali kepada keadaan yang berlaku seperti di dalam liqa’ fikri baru-baru ini, liqa’ itu sendiri mempunyai kepentingan di sudut syara’ kerana perbincangannya adalah sekitar perjuangan Islam serta perancangan ke arah pemantapan gerakan. Keadaannya mengatasi muamalat maliyah (urus niaga harta), suasana bekerja, suasana ikhtilat dalam kenderaan awam dan sebagainya. Maka, apabila dilihat daripada sudut kepentingan perjuangan Islam seperti itu, insyaallah ikhtilat/percampura n seperti ini diharuskan, selagi adab-adab pergaulan di dalamnya dijaga dan dipatuhi.

Adapun tulisan ini barangkali tidak sunyi daripada sebarang kesilapan atas kapasiti saya sebagai hamba-Nya, maka saya memohon maaf atas segala kekurangan. Mohon pembetulan daripada saf penasihat andai terdapat kelompangan ataupun kesilapan di dalam artikel ini.

(Perkongsian daripada Ibn 'Abdillah As-Sarawaki)


0 PAUTAN RASA:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...