Selamat Menyambut Ramadhan Al-Kareem


Masa dengan begitu pantas bergulir, meninggalkan kita yang sentiasa disendati dengan seribu satu pencarian. Seakan baru sahaja melafazkan laungan takbir dan berpesta pora meraikan Ramadhan pada tahun lepas. Kini dia datang lagi dengan membawa sejuta ruang pengampunan, kerana umur kita umat Muhammad SAW, paling pendek berbanding umat sebelumnya.

Lambaian mesra Ramadhan membawa kita tenggelam dalam dakapan kasih sayang Allah yang tidak pernah padam. Penghulu Bulan ini adalah agen transformasi sikap yang paling ampuh rugilah manusia yang mencuaikannya.

Kita telah pun ada di bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan berakah dan rahmat dari Ilahi, sebagaimana yang di sabdakan oleh Rasulullah, "Permulaannya adalah rahmat". Ramadhan adalah penghulu kepada segala bulan, ia berbeza dari segala bulan yang lain dalam dua perkara iaitu:

1. Ramadhan adalah bulan yang di wajibkan berpuasa (Bermula pada tahun 2 H)
2. Ia juga bulan yang di sunatkan melakukan ibadah dengan sebanyak mungkin dan pahala di gandakan (Bulan maghfirah)

BAGAIMANA BERPESTA DENGANNYA?

Berpandukan kepada perkara di atas puasa hendaklah di lakukan dengan teliti, menunaikan segala syarat-syaratnya dan menjauhkan segala perkara yang boleh merosakkannya. Seterusnya bersungguh-sungguh dalam melakukan segala amal kebajikan yang sunat terutamanya yang sah dan sabit di dalam Al-Quran dan hadis dan apa yang di lakukan oleh para salafusoleh. Ini menuntut Umat Islam untuk mendalami segala hukum-hakam yang bersangkutan dengan puasa sama ada yang wajib, sunat serta adab-adab yang sepatutnya di lakukan, cara mempelajarinya mestilah dengan membaca, ataupun bertanyakan mereka yang alim, menghadiri kuliah atau apa saja wasilah untuk mendapatkan ilmu.

Di sini kami kemukakan cadangan program di bulan Ramadhan.

• Qiam
Sabda Rasulullah yang bermaksud, "Sesiapa yang berqiam pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan memohon pahala dari Allah akan di ampunkan dosanya yang terdahulu".

• Waktu qiam dan bentuknya.
Qiam di sunatkan melakukannya di permulaan malam, ia tidak di sunatkan di lakukan di akhir malam, jikalau kita berminat untuk melakukannya di waktu sahur maka seelok-eloknya ia di ikuti dengan kiam di awal malam, demikian juga sunat. Berkata Imam Abu Daud di katakan kepada Imam Ahmad dan aku mendengarnya dilewatkan qiam iaitu tarawih di akhir malam beliau menjawab “Jangan ! Apa yang di lakukan oleh umat Islam terlebih di sukai oleh ku”. Jika anda menghimpunkan dua kiam di awal dan di akhir malam maka janganlah anda melalukan dua kali solat witir kerana Rasulullah bersabda tiada dua witir dalam satu malam.

• Bersahur.
Rasulullah sangat mengambil berat dalam bersahur ia di panggil makan malam yang di berkati, Rasulullah bersahur pada akhir malam sebagaimana sabdanya, "Sentiasalah manusia dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan mengakhiri sahur".

Kelebihan Ibadah Puasa Menurut Perspektif Syarak

1) Mendapat keampunan.
2) Merdeka dari api neraka.
3) Puasa akan memberi syufaat di hari kiamat.
4) Puasa menjadi perisai dari maksiat.
5) Mereka yang berpuasa dapat masuk syurga melalui pintu (Al-Rayaan).
6) Bau mulut lebih wangi disisi Allah dari kasturi.
7) Bergembira ketika berbuka dan ketika bertemu tuhan.
8) Allah akan mengurniakan sendiri ganjaranya kepada mereka yang berpuasa.
9) Dapat melahirkan insan yang bertaqwa.

p/s: RAPI POLIKU mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Kareem wa Al- Mubarak kepada semua siswa Muslim POLIKU, Alumni RAPI POLIKU dan semua pengunjung blog.. Sama-samalah kita mengambil peluang dan mencari malam lailatul Qadar di 10 malam yang terakhir..

0 PAUTAN RASA:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...