Ucapan Perutusan Nur Poliku dan Penangguhan RaPI oleh Pengerusi RaPI Jul 09

Assalamulaikum w.b.t


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kasih sayangNya kita masih lagi diberikan kenikmatan yang tidak terhingga sehingga kita sendiri tidak mampu menghitung akan segala nikmat yang diberikan kepada kita sendiri. Apatah lagi apabila kita dikurniakan dengan nikmat Iman dan Islam,adakah kita betul-betul menghayati nikmat yang paling berharga ini. Lebih-lebih lagi apabila kita yang bergerak di dalam satu jemaah(organisasi) iaitu Rakan Pusat Islam (RaPI) yang mana kita telah diberikan banyak pendedahan tentang Islam dan tarbiyyah.Tepuk dada,tanyalah iman.

Setiap detik yang kita lalui ini umpama seni yang begitu halus kualitinya dan teliti ukirannya.Sebermulanya kita dilahirkan sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.Perlunya kita fahami dahulu apa itu seni. Ruang lingkup seni ini amatlah besar. Bagi saya, seni itu adalah sesuatu yang sangat menarik,berpengaruh,berkuasa,fleksibel,menyeluruh,selesa sehinggakan mampu melahirkan rasa hormat dan gerun jika difahami secara dasar yang tulen. Seni ini memberikan kita seribu macam pengalaman dalam erti memahami matlamat penghidupan manusia ke dunia yang fana ini. Apakah kita hidup dalam seni yang main-main atau sekadar seni yang tidak ada arah petunjuknya?. Marilah kita bersama-sama renungi firman Allah ini yang bermaksud:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai
Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

Jesteru itu, kita perlulah mencari jalan seni yang sebenar agar kita kembali kepadaNya dengan tahu tujuan. Dan seni yang dimaksudkan itu ialah seni Iman dan Islam. Seni sana sini,sunyi tanpa Iman senyap tanpa Islam.

Disitulah kita melihat betapa pentingnya kita hidup dalam berjemaah(organisasi) untuk kita mencari seni yang sebenar dalam penghidupan kita. Sudah menjadi fitrah bahawa manusia itu tidak boleh hidup seorang sahaja kerana manusia ini saling memerlukan di antara satu sama lain. Begitu juga kita dalam berjemaah, perlunya ada kerjasama untuk menegakkan Islam di samping menambahkan keimanan kita. Kewajipan kita berada dalam jemaah adalah satu kemestian apabila wajibnya kita memulakan kehidupan menurut Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“Kamu adalah ummat yang terbaik, yang dilahirkan untuk ummat manusia; kamu
menyuruh orang berbuat baik, dan melarang orang berbuat yang tidak baik, dan kamu
beriman kepadaAllah.”
(Surah Ali-’Imran: ayat 110)

Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Barangsiapa yang memecah belah, maka ia tidak termasuk golongan kami. Rahmat
Allah berada bersama-sama dengan JAMA’AH sesungguhnya serigala hanya mahu
memakan kambing yang menyendiri.”
(Hadith Riwayat Tabrani)

Kehidupan kita ini merupakan satu ujian yang paling besar dalam menentukan kita ke syurga atau neraka. Tidak seperti ujian dunia yang kita lalui. Kegagalan dan kejayaan yang diperolehi bukanlah satu aset kekal yang boleh kita letakkan diri ini ke ruang lingkup kebahagiaan yang sebenar tetapi sebagai kayu ukuran agar kita lebih berhati-hati dalam melalui seni hidup yang sebenar. Hanya amal dan taqwa sebagai bekalan kita menuju ya Rabb. Firman Allah yang bermaksud :

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan
sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Surah Al-
Anbiyaa', Ayat: 35).

Kita pasti diuji. Itulah hakikat sebenar yang perlu kita fahami bahawa kehidupan yang berseni dalam kita berjemaah bukan kehidupan yang mewah dan bersenang-lenang. Akan ada seribu macam ujian dan dugaan yang melanda diri kita. Saya mengambil kata-kata dari ‘alim ulama bahawa “Indahnya kehidupan dengan bagaimana kita menyelesaikan permasalahan yang timbul” . Mahu tidak mahu kita harus melalui ujian dan dugaan ini. Itulah yang diertikan sebagai tarbiyyah kehidupan. Jangan mengaku diri kita ini adalah orang yang beriman sekiranya kita ini masih berkira-kira dengan masalah yang dihadapi. Sesungguhnya di dalam kesusahan itu pasti ada kesenangan di akhirnya.

Mantapkan diri kita dalam jemaah dengan memahami konsep 3T yang selalu kita sebutkan samada dari sudut teori mahupun amalinya. Kerana campuran 3T itu akan menghasilkan adunan lengkap yang dinamakan Ukhuwwah. 3T itulah ta’aruf(kenal),tafahum(faham) dan takaful(tolong-menolong). Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaiman yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan
marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Akhir kalam, saya selaku Pengerusi Rakan Pusat Sesi Julai 2009 ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada penasihat-penasihat Pusat Islam yang banyak memberi bimbingan dan pendedahan buat diri ini secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya diri ini masih cetek ilmu dan masih memerlukan tunjuk ajar dari kalian semua secara langsung mahupun tidak langsung.

Buat sahabat sahabiah seperjuangan ku di medan perjuangan RAPI,ketahuilah bahawa kita bukanlah pemula dan pengakhir perjuangan dakwah di Politeknik ini tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan yang tidak bisa diputuskan sehingga tertegaknya Islam yang sebenar. Sesungguhnya kemanisan kita dalam berukhuwwah amat saya rasai sekali dan itulah matlamat yang diinginkan dalam membentuk daulah Islamiah yang diidam-idamkan semula.Bersama-samalah kita bersatu dalam mencapai apa yang diidam-idamkan itu bermula pada diri,keluarga,masyarakat,negeri,negara dan akhirnya daulah Islamiah. Renungilah firman Allah di dalam surah As-Shaff ayat-4 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur,mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”


Jazakallahu khairan wa kathira………



ISHACK BIN ABBAS
PENGERUSI RAKAN PUSAT ISLAM
SESI JULAI 2009

0 PAUTAN RASA:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...