Showing posts with label Perutusan. Show all posts
Showing posts with label Perutusan. Show all posts


Ucapan Dasar Pengerusi RAPI Sesi Disember 2010



UCAPAN DASAR
PENGERUSI RAPI SESI DISEMBER 2010

SEMPENA MESYUARAT AGUNG KHAS RAPI SESI DISEMBER 2010

“Perkasakan Tarbiyyah, Kuasai Siasah, Mantapkan Dakwah”

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih kepada saudara Pengerusi Mesyuarat
Yang Berbahagia Penasihat RAPI
Yang Dihormati Saff Kepimpinan Majlis Tertinggi & AJK RAPI Sesi Disember 2010
Yang Berusaha Pengarah & Jawantankuasa Pelaksana Mesyuarat Agung RAPI
Yang Diraikan Dif-Dif Kehormat Dan Para Tetamu Jemputan
Yang Dihormati Kepimpinan Mahasiswa Dari Pelbagai Platform Di Segenap Peringkat.
Serta Sidang Perwakilan dan Pemerhati, Siswa Siswa Yang Dirahmati Allah Sekalian

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita ruang dan peluang untuk sama-sama kita mengecapi nikmat perjuangan Islam. Saya mewakili saff kepimpinan mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat sekalian ke Mesyuarat Agung Khas RAPI Sesi Disember 2010. Salam ukhuwah dan mahabbah kami ucapkan kepada teman-teman sekalian.

Tema “Perkasakan Tarbiyyah, Kuasai Siasah, Mantapkan Dakwah” bagi Mesyuarat Agung kali ini menjadi begitu penting dan mencabar tambahan masa kini kita berhadapan dengan dunia yang jauh berbeza dengan masa lalu.
Inilah moto dan tema yang kita pilih pada mesyuarat agung pada kali ini. Moto dan tema ini tidak akan tercapai dan tidak akan memberikan sebarang implikasi seandainya ia tidak dipraktikkan dan dijalinkan dengan pengetahuan atau knowledge yang tinggi, tidak kiralah sama ada dari sudut keagamaan atau hal ehwal semasa. Maka dengan itu saya mengimpikan sidang ahli mesyuarat sekalian dapat menggunakan ruang dan peluang pada muktamar kali ini sebagai suatu medan muhasabah dan perbincangan hala tuju RAPI pada masa hadapan.


MUQADDIMAH

“Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku..” (Al-Anbiyaa`: 92)

RAPI muncul tatkala kita menyedari peri penting untuk memperjuangkan agama Allah kepada masyarakat. Dengan kematangan yang melepasi dua dekad, RAPI yang sudah memasuki kancah perjuangan yang rencam untuk mendaulatkan kefahaman Islam di kampus biarpun telah melalui 4 fasa perubahan dalam organisasi iaitu melalui Badan Kebajikan Surau Al-Muhandisin, seterusnya melalui Gerakan Siswa Siswa Islam POLIKU (GERSIS), Persatuan Siswa Siswi Islam POLIKU (PERSIS) dan akhirnya Rakan Pusat Islam (RAPI) sehingga sekarang . Ruh dan inspirasinya tiada lain, melainkan memastikan kalimah Laailahaillallah terus bernadi ke dalam sebanyak-banyaknya manusia di kampus. Dalam menuju ke arah penegakan kalimatun toyyibah tersebut, kita telah melakukan segala elemen gerak kerja samada amar makruf nahi mungkar, membanteras kezaliman mahupun menegakkan yang al-haq.

Inilah yang menjadi intipati dalam setiap gerak kerja RAPI. Segala gerak kerja yang kita lakukan, sedaya-upaya kita halakan ke arah penerapan kefahaman Islam & penerimaan Islam di seluruh peringkat. Kita berkeyakinan hanya dengan Islam sahajalah mampu memberikan solusi kepada permasalahan hari ini. Bahkan hanya dengan Islam jugalah seluruh ummah boleh menyandarkan ‘kepala mereka di bahu kita’ dalam bergantung harap atas isu apa pun, baik dari sudut sosial, undang-undang, ekonomi dan lain-lain.

Selain itu, kesedaran kita terhadap tuntutan syahadah yang wajar kita lunaskan, telah menjadi beban kepada kita sebaik ditaklifkan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ianya bukan sekadar menuntut untuk kita menjadi muslim yang baik, namun jauh lebih penting ialah untuk memastikan kita menjadi individu yang soleh wa musleh (bermanfaat dan memberi manfaat). Inilah yang menjadi fokus kita sejak zaman berzaman sehingga bermacam stail uslub dakwah yang telah kita rencana hanya semata-mata untuk memastikan misi agung ini tercapai.


Sidang ahli dewan mesyuarat sekalian,

20 TAHUN MEMIMPIN GENERASI

Dalam meneliti arus perjuangan dakwah Islam di kampus Politeknik Kuching, sejarah banyak merakamkan potret perjuangan RAPI semenjak tahun 1990 sebagai “agen dakwah Islam” yang sentiasa tegar dalam melaksanakan tuntutan syariat Allah.

Dua puluh tahun bukanlah suatu jangka masa yang singkat, namun ia merupakan satu jangka masa yang lama yang mana sudah pastinya dalam jangka masa tersebut terdapat pelbagai ujian-ujian yang menimpa terhadap organisasi Islam ini dan para penggeraknya. Biarpun dalam keadaan yang sebegitu lama, organisasi ini “tahan lasak” kerana kekuatan tarbiyyah fikriah (pengasuhan kefahaman Islam) para penggeraknya biarpun berdepan dengan pelbagai masalah yang melibatkan konfrontasi luaran dan isu namun itulah resam perjuangan Islam yang mana begitu banyak mehnah dan tribulasi (ujian dan cabaran) seperti berhadapan dengan golongan mukmin yang dengki, munafikin, kafir harbi, syaitan dan hawa nafus seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya Bahtera Penyelamat.

Dan daripada keiltizaman organisasi ini, tidak dapat dinafikan bahawa RAPI merupakan satu-satunya organisasi Islam yang dapat memberi kefahaman Islam yang syumul (menyeluruh) di kampus dan juga dikenali sebagai “benteng terakhir umat Islam” di kampus Politeknik Kuching di zaman keemasannya. Kini RAPI bergerak secara diplomasi buat seketika setelah menghadapi pelbagai tekanan dari pihak luar yang kian tergugat dengan perkembangan Islam di Politeknik Kuching apabila berlakunya siri-siri pengislaman golongan non muslim dan kebanjiran program-program Islamisasi.

RAPI juga telah menggerakkan program-program membimbing para mahasiswa melalui program-program tarbiyyah. Tidak kira sama ada melalui program-program amal tarbawi yang mana meliputi usrah, mukhayyam (perkhemahan), ceramah, katibah dan sebagainya. Inilah diantaranya sebahagian usaha organisasi dalam memberi dan membimbing para mahasiswa kepada kefahaman Islam yang terbaik.


Sidang para muktamirin dan muktamirat sekalian,

TARBIYYAH NADI ORGANISASI

Secara hakikatnya, kita menginsafi bahawa besarnya gagasan perjuangan Islam yang, haruslah selari dengan pelaksanaan, pembinaan dalaman dan luaran seluruh penggerak itu di setiap peringkat. Agenda tarbiyah dan dakwah dalam organisasi kita bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan. Ianya akan menjadi titik tolak sejauh mana agenda perjuangan itu dapat digapai.

Jika kita tinjau keberhasilan selama 13 tahun pembinaan karekter-karekter pejuang di zaman Rasulullah S.A.W juga melalui proses tarbiyah yang berterusan, bahkan lebih sukar sebenarnya kerana Rasulullah S.A.W bermula dengan sifar. Bermula dengan dakwah, langsung individu-individu yang telah tertarik dengan ajaran tauhid ketika itu, telah diikat oleh Rasulullah S.A.W sendiri dengan proses didikan yang membekas dan kesedaran yang sempurna terhadap hakikat diri diciptakan. Tambahan pula, berkat konsistensi tarbiyah di era madrasah nabawiyah tersebut, telah menjana suatu generasi yang Asy-Syahid Sayyid Qutb istilahkan dalam bukunya (Ma’alim Fit Toriq) sebagai Jiilul Qur’anil Farid (Generasi Al-Qur’an Yang Unik)

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 129 :

“Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur`an) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana...”

Tarbiyah ibarat ‘kilang proses’, yang memproses manusia-manusia ke arah matlamat besar ke arah kefahaman Islam dan seterusnya menyahut seruan perjuangan Islam yang telah diselusuri oleh para anbiya’ . Justeru, apabila proses itu tidak berjalan dengan baik, kita pastinya tidak mampu untuk mengharapkan individu-individu dalam saf juang ini secara semulajadinya untuk faham, jelas dan beriltizam (komitmen) dengan misi perjuangan Islam ini kerana Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang ke-2 iaitu Ustaz Hassan Al Hudaibhi pernah berkata “Tegakkanlah Islam dalam dirimu, maka tertegaklah Islam di dalam negaramu”.

Secara hakikatnya, kita merindui suasana berlumba-lumba untuk memahamkan mereka di luar sana dengan fikrah Islam (pemikiran Islam) sebagaimana yang kita faham sebagai perisai kepada ghazwah al-fikr (serangan pemikiran) . Fikrah Islam yang kita maksudkan bukanlah sekadar memberi yakin bahawa mereka itu perlu menjadi manusia yang baik secara etikanya, namun jauh lebih besar ialah pembinaan diri manusia yang kita proses itu benar-benar bersedia untuk hidup sebagai Fardun Muslim (individu muslim) yang terbaik. Bahkan bukan itu sahaja, namun memenuhi dan bersedia yang ke arah peringkat marratibul amal (amal yang berterusan) yang seterusnya iaitu bait al muslim (keluarga Islam), mujtama’ muslim (masyarakat Islam) dan lain-lain peringkat. Hanya dengan proses tarbiyyah iaitu dengan menggerakkan amal tarbawi seperti usrah, liqa, mukhayyam (perkhemahan), rehlah, kuliyyah, katibah (perjumpaan) dan sebagainya dapat mematangkan diri individu yang ditarbiyyah.


Sidang para perwakilan dan pemerhati sekalian,

SIASAH ASAS KEKUATAN ISLAM

Para penggerak Islam harus mengetahui Rasululullah SAW menguasai dakwah dan siasah Islam (pemerintahan Islam). Ini diantara dua kunci yang menyebabkan tertubuhnya negara Islam Madinah dan terbentuknya piagam Madinah. Ilmu siasah (pemerintahan) yang kian terhakis daripada para umat Islam hari ini hasil serangan ghazwah al fikr (serangan pemikiran) menyebabkan umat Islam hari ini hampir-hampir memisahkan dakwah dan siasah dengan “mindset” pemikiran Islam tidak ada kaitan dengan siasah patut kita hapuskan. Mufti kerajaan terakhir kerajaan Turki Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa As-Sobri mengatakan:

“Pemisahan diantara agama (Islam) dan siasah (pemerintahan) adalah jalan terdekat menjadi murtad”

Para anbiya’ berdakwah di zaman masing-masing kepada golongan pemerintah. Bukan itu sahaja, sejarah juga telah merakamkan Nabi Nuh a.s berdakwah kepada al-Malak (org berpengaruh) bagi memperbetulkan dan mengubah aspek pemerintahan yang kufur kepada Allah kepada pemerintahan yang menyerah kepada Allah. Bukan itu sahaja, Nabi Ibrahim mengajak penduduk Babylon yang berakhlak baik berdepan dengan Raja Namrud, Nabi Musa dan Harun memimpin Bani Israel berdepan dengan Firaun Laknatullah dan begitu juga Nabi kita, Muhammad Rasulullah SAW berdepan dengan pemimpin masyarakat Arab Jahiliyyah.

Islam pernah menguasai dua pertiga dunia melalui kuasa siasah. Dengan itu, maka perlunya kita memastikan agar Islam itu sentiasa berada di puncak kepimpinan supaya ia boleh memerintah. Dalam konteks kampus, maka perlunya kita menjana kepimpinan Islam di setiap para penggerak untuk bersiap sedia memimpin ummah dengan memperkasakan ilmu siasah yang lengkap dengan pengetahuan strategi dan taktik berlandaskan syariat dengan menyediakan medan latihan. Diantara ilmu yang perlu kita mantapkan adalah:

1. Ilmu-ilmu Asas Islam dan Penghujahan di Sekitarnya (Tauhid, Syariat, Akhlak)
2. Ilmu Psikologi & Komunikasi
3. Ilmu Bahasa (Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab)
4. Ilmu Ekonomi
5. Ilmu Isu-isu Semasa
6. Ilmu Berorganisasi dan Pentadbiran

Faktor usia bukanlah satu persoalan sama ada masih muda ataupun tidak untuk menimba dan menjana diri kita dengan ilmu sebegini , sejarah telah merakamkan Sultan Muhammad Al-Fateh menguasai Kota Konstantinople dalam usia baginda yang belasan tahun, begitu juga dengan Usamah Bin Zaid dilantik menjadi panglima perang ketika usia 18 tahun, Hassan Al-Banna mengasaskan jamaah Ikhwanul Muslimin yang merupakan gerakan Islam yang terbesar di dunia ketika ini ketika berusia 21 tahun selepas kejatuhan khilafah Islamiyyah di Turki yang menjadi payung umat Islam semenjak zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq.

Maka, saya menyeru mahasiswa Islam juga seharusnya mengambil perhatian isu-isu yang melibatkan dunia Islam dan isu-isu kampus serta memastikan setiap perkara yang berkaitan dengan masalah masyarakat kampus dapat diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin organisasi yang beragama Islam kerana Islam juga menitikberatkan soal keadilan dan kebajikan masyarakat kerana itu merupakan juzu’ (cabang) dalam Islam kerana Islam adalah Penyelesaian Masalah Ummah.


Para pemuda dan pemudi sekalian,

DAKWAH BERASASKAN WAQI’E (SITUASI SEMASA)

Penilaian waqi’e semasa menyebabkan RAPI mempelbagaikan uslub dakwah (cara dakwah) yang berkesan kepada masyarakat kampus. Tidak dinafikan, hal ini telah memberi kesan kepada pengstrukturan organisasi RAPI sehingga terdapat perubahan pada sistemnya dengan penubuhan lajnah-lajnah (unit) yang merangkumi pelbagai aspek saluran dakwah iaitu Tarbiyyah, Kepimpinan, Akademik, Kebajikan, Kesenian, Rehlah dan Riadah, Pengurusan Masjid, Ekonomi, Penerbitan dan Pubisiti sebagai saluran ataupu medan kepada penyampaian dakwah yang berkesan mengikut situasi semasa agar penerimaan masyarakat kampus kepada Islam adalah mudah.

Islam hari ini dipandang jumud oleh masyarakat kampus dan luar kerana kejahilan penggerak Islam yang tidak dapat menghadam situasi semasa dan tidak mempelbagaikan uslub dakwah (cara dakwah) sehinggakan memberi kesan kepada dakwah itu secara khususnya dan diantara akibatnya menyebabkan masyarakat amat-amat jauh daripada Islam apatah lagi dakwah Islam.

Dakwah Islam bukan hanya setakat kepada golongan Islam sahaja, maka perlu difahami bahawa Islam itu adalah sejagat (universal) dan ini bererti bahawa Islam itu adalah untuk semua makhluk termasuk non muslim. Perhatian kepada dakwah non muslim ini juga perlu dititikberatkan terutama di bumi Sarawak ini yang mana hanya 38% umat Islam di sini. Maka perlunya dakwah itu diberi perhatian kepada dua peringkat sasaran iaitu muslim dan non muslim bergantung kepada kemampuan organisasi. Dakwah kepada non muslim adalah memastikan agar kita dapat memberi faham dan penjelasan kepada non muslim tentang Islam yang sebenarnya apatah lagi kini kita uamt Islam menghadapi masalah perlabelan ekstrimis, terroris dan paling besar adalah masalah Islamphobia. Maka perlunya kita berganding bahu agar maslahat dakwah ini dapat dijayakan.


PENUTUP

Anak-anak muda harapan ummah yang dikasihi sekalian,

Agama ini membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh iaitu keimanan kepada Allah, mengenepikan kesenangan hidup yang sementara kerana mengutamakan kehidupan yang kekal abadi, berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, mereka juga cintakan mati pada jalan Allah.

Jadikanlah segala asas yang kukuh ini sebagai landasan kebangkitan kita, perbaiki diri kita, pusatkan dakwah kita dan pimpinlah umat ke arah kebaikan. Allah akan sentiasa bersama kita dan Allah tidak akan mensia-siakan amalan kita. Janganlah kita berputus asa kerana ia bukan sifat orang Islam, Kenyataan hari ini adalah impian semalam dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Masa masih panjang dan anasir-anasir yang baik dan kuat masih ada dalam diri bangsa kita yang beriman walau bagaimana dasyat sekali pun kedurjanaan yang melanda. Orang yang lemah tidak selamanya akan lemah sepanjang hidup. Manakala orang yang kuat tidak selamanya akan kuat.

Firman Allah dalam Surah Al-Qasas; ayat 5-6.

“Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi. Dan akan kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu..”

Menyedari medan kita yang semakin luas dan mencabar, kita memerlukan segala instrumen-instrumen yang boleh menjadi kejayaan pada gerakan ini. Baik dalam ruang ekonomi, sosial, dakwah, politik, dan lain-lain, kita menginsafi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk terus memimpin & melakukan pengislahan samada secara beransur-ansur ataupun dramatik. Segalanya bertitik tolak kepada kita.

Peluang akan tiba untuk melakukan sesuatu yang lebih besar. Dunia sedang menanti bentuk-bentuk pengislahan yang kita datangkan kepada mereka. Ia pastinya merupakan suatu evolusi untuk membawa kejayaan dan kesejahteraan untuk membebaskan mereka daripada segala kepahitan yang dialami selama ini.

Kita mengharapkan Allah. Bersedialah dan mulalah beramal pada hari ini kerana mungkin esok kita tidak lagi berupaya. Saya sampaikan juga pesanan buat mereka yang bersemangat dikalangan kita supaya bersabar dan menunggu pusingan masa. Saya pesan juga pada mereka yang tidak mahu bangkit dan beramal bahawa jihad ini tidak mengenal erti rehat.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik..” (Surah Al-Ankabut; ayat 69)

Semoga dalam kesempatan yang wujud ini dapat kita manfaatkan seoptimum mungkin bagi merencana organisasi RAPI yang lebih cemerlang dari masa ke semasa. Luahkanlah idea, pandangan, kritikan dan pendapat kita untuk kepentingan ummah dan bukannya bersifat peribadi. Jadikanlah medan yang tersedia ini sebagai medan untuk kita bermuzakarah secara baik dan penuh dengan keikhlasan.

Saya mewakili barisan kepimpinan mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama, sokongan, pengorbanan, idea dan bantuan yang telah sahabat-sahabat semua berikan kepada kami. Segala kelemahan dan kesilapan mohon untuk diperbaiki. Marilah kita berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayahNya kepada kita sepanjang laluan perjalanan kita.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Zulzaim Hilmee Bin Abidin,
Pengerusi,
Rakan Pusat Islam (RAPI) Sesi Disember 2010
Politeknik Kuching Sarawak.




Salam Imtihan Siswa Siswi POLIKU



Ucapan Perutusan Nur Poliku dan Penangguhan RaPI oleh Pengerusi RaPI Jul 09

Assalamulaikum w.b.t


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kasih sayangNya kita masih lagi diberikan kenikmatan yang tidak terhingga sehingga kita sendiri tidak mampu menghitung akan segala nikmat yang diberikan kepada kita sendiri. Apatah lagi apabila kita dikurniakan dengan nikmat Iman dan Islam,adakah kita betul-betul menghayati nikmat yang paling berharga ini. Lebih-lebih lagi apabila kita yang bergerak di dalam satu jemaah(organisasi) iaitu Rakan Pusat Islam (RaPI) yang mana kita telah diberikan banyak pendedahan tentang Islam dan tarbiyyah.Tepuk dada,tanyalah iman.

Setiap detik yang kita lalui ini umpama seni yang begitu halus kualitinya dan teliti ukirannya.Sebermulanya kita dilahirkan sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.Perlunya kita fahami dahulu apa itu seni. Ruang lingkup seni ini amatlah besar. Bagi saya, seni itu adalah sesuatu yang sangat menarik,berpengaruh,berkuasa,fleksibel,menyeluruh,selesa sehinggakan mampu melahirkan rasa hormat dan gerun jika difahami secara dasar yang tulen. Seni ini memberikan kita seribu macam pengalaman dalam erti memahami matlamat penghidupan manusia ke dunia yang fana ini. Apakah kita hidup dalam seni yang main-main atau sekadar seni yang tidak ada arah petunjuknya?. Marilah kita bersama-sama renungi firman Allah ini yang bermaksud:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai
Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

Jesteru itu, kita perlulah mencari jalan seni yang sebenar agar kita kembali kepadaNya dengan tahu tujuan. Dan seni yang dimaksudkan itu ialah seni Iman dan Islam. Seni sana sini,sunyi tanpa Iman senyap tanpa Islam.

Disitulah kita melihat betapa pentingnya kita hidup dalam berjemaah(organisasi) untuk kita mencari seni yang sebenar dalam penghidupan kita. Sudah menjadi fitrah bahawa manusia itu tidak boleh hidup seorang sahaja kerana manusia ini saling memerlukan di antara satu sama lain. Begitu juga kita dalam berjemaah, perlunya ada kerjasama untuk menegakkan Islam di samping menambahkan keimanan kita. Kewajipan kita berada dalam jemaah adalah satu kemestian apabila wajibnya kita memulakan kehidupan menurut Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“Kamu adalah ummat yang terbaik, yang dilahirkan untuk ummat manusia; kamu
menyuruh orang berbuat baik, dan melarang orang berbuat yang tidak baik, dan kamu
beriman kepadaAllah.”
(Surah Ali-’Imran: ayat 110)

Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Barangsiapa yang memecah belah, maka ia tidak termasuk golongan kami. Rahmat
Allah berada bersama-sama dengan JAMA’AH sesungguhnya serigala hanya mahu
memakan kambing yang menyendiri.”
(Hadith Riwayat Tabrani)

Kehidupan kita ini merupakan satu ujian yang paling besar dalam menentukan kita ke syurga atau neraka. Tidak seperti ujian dunia yang kita lalui. Kegagalan dan kejayaan yang diperolehi bukanlah satu aset kekal yang boleh kita letakkan diri ini ke ruang lingkup kebahagiaan yang sebenar tetapi sebagai kayu ukuran agar kita lebih berhati-hati dalam melalui seni hidup yang sebenar. Hanya amal dan taqwa sebagai bekalan kita menuju ya Rabb. Firman Allah yang bermaksud :

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan
sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Surah Al-
Anbiyaa', Ayat: 35).

Kita pasti diuji. Itulah hakikat sebenar yang perlu kita fahami bahawa kehidupan yang berseni dalam kita berjemaah bukan kehidupan yang mewah dan bersenang-lenang. Akan ada seribu macam ujian dan dugaan yang melanda diri kita. Saya mengambil kata-kata dari ‘alim ulama bahawa “Indahnya kehidupan dengan bagaimana kita menyelesaikan permasalahan yang timbul” . Mahu tidak mahu kita harus melalui ujian dan dugaan ini. Itulah yang diertikan sebagai tarbiyyah kehidupan. Jangan mengaku diri kita ini adalah orang yang beriman sekiranya kita ini masih berkira-kira dengan masalah yang dihadapi. Sesungguhnya di dalam kesusahan itu pasti ada kesenangan di akhirnya.

Mantapkan diri kita dalam jemaah dengan memahami konsep 3T yang selalu kita sebutkan samada dari sudut teori mahupun amalinya. Kerana campuran 3T itu akan menghasilkan adunan lengkap yang dinamakan Ukhuwwah. 3T itulah ta’aruf(kenal),tafahum(faham) dan takaful(tolong-menolong). Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaiman yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan
marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Akhir kalam, saya selaku Pengerusi Rakan Pusat Sesi Julai 2009 ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada penasihat-penasihat Pusat Islam yang banyak memberi bimbingan dan pendedahan buat diri ini secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya diri ini masih cetek ilmu dan masih memerlukan tunjuk ajar dari kalian semua secara langsung mahupun tidak langsung.

Buat sahabat sahabiah seperjuangan ku di medan perjuangan RAPI,ketahuilah bahawa kita bukanlah pemula dan pengakhir perjuangan dakwah di Politeknik ini tetapi kita adalah mata-mata rantai perjuangan yang tidak bisa diputuskan sehingga tertegaknya Islam yang sebenar. Sesungguhnya kemanisan kita dalam berukhuwwah amat saya rasai sekali dan itulah matlamat yang diinginkan dalam membentuk daulah Islamiah yang diidam-idamkan semula.Bersama-samalah kita bersatu dalam mencapai apa yang diidam-idamkan itu bermula pada diri,keluarga,masyarakat,negeri,negara dan akhirnya daulah Islamiah. Renungilah firman Allah di dalam surah As-Shaff ayat-4 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur,mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”


Jazakallahu khairan wa kathira………



ISHACK BIN ABBAS
PENGERUSI RAKAN PUSAT ISLAM
SESI JULAI 2009


Perutusan Pengerusi RAPI Sesi Julai 2009

Assalamualaikum w.bt

Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah yang masih lagi memberikan kita kesempatan untuk sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadah kita di dunia. Dan bersyukur kita kepada Allah swt kerana kita juga masih lagi diberikan kesempatan kerana masih lagi diri kita ini dipertemukan oleh Allah dengan Bulan Ramadhan al-Mubarak yang istimewa ini. Sebagaimana rindunya Rasulullah dengan bulan yang mulia ini dengan tangisan Baginda kerana Baginda tidak tahu akan berjumpakah lagi Baginda dengan Ramadhan yang akan datang. Jadi,bersama-samalah kita manfaatkan bulan ramadhan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah kita kepada Allah.. InsyaAllah..

Sedar tidak sedar, Ramadhan sudah pun memasuki fasa yang ketiga iaitu pusingan yang ketiga bermakna pusingan yang terakhir. Ana mengharapkan agar bulan Ramdhan kali ini mampu memberikan perubahan yang lebih baik berbanding Ramdhan yang sebelumnya terutamnya kepada individu-individu yang wajib menyahut cabaran puasa ini terutamanya kepada ajk-ajk Rakan Pusat Islam. Sesungguhnya perubahan yang dirasai akan menunjukkan peningkatan iman kita dari yang sebelumnya.

Akhir kata, di kesempatan ini juga ana hendak mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI kepada Para Penasihat Rakan Pusat Islam,Ajk Rakan Pusat Islam,Ajk Perwakilan Kamsis dan Ajk Perwakilan Pelajar
Raya-raya juga..jangan sampai tak ingat nak balik Poliku lagi..Bagi yang senior,cuti seminggu sahaja..Yang junior,manfaatkan masa cuti anda di kampung atau di mana-mana sahaja anda berada…..

Wassalam…….

Ishack Bin Abbas
Pengerusi RAPI Sesi Julai 2009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...